Monday, May 07, 2007

Jiwa A-Go-Go Jefrydin tetap membara

Jiwa A-Go-Go Jefrydin tetap membara



KENANGANKU: Jefrydin (tiga dari kiri) bersama teman
seangkatan 60-an termasuk A Ramlie (dua dari kanan).


Jefrydin atau nama sebenarnya, Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman terus setia bersama lagu pop yeh yeh

GENCOK, gedik dan goyang tubuhnya masih lagi seperti dulu. Malah dia antara penyanyi veteran yang kelihatan awet muda. Sebut saja lagu Kenanganku dan Seruling Anak Gembala, peminat akan terus teringatkan dirinya.

Itulah Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman atau nama komersialnya, Jefrydin seorang lagi penyanyi pop yeh yeh yang masih kekal bertahan.

Pada zaman kegemilangannya, Jefrydin memang menjadi kegilaan seperti mana Allahyarham A Ramlie. Ke mana pergi, Jefrydin selalu diserbu peminatnya hingga bajunya pernah koyak-koyak dan tercabut butang!

Begitulah hebatnya aura Jefrydin dan impak lagu 60-an malah EP Kenanganku pernah dijual melebihi 150,000 unit ketika itu.

Kerjaya seni beliau bermula sewaktu belajar dalam darjah lima di Sekolah Tangling Tinggi, Singapura. Kemudian sekitar 1962 dan 1963, Jefrydin mula memasuki pertandingan menyanyi dan menjadi juara.

Seterusnya pada 1964, penyanyi bermata celak itu mencuba pula nasibnya dalam pertandingan kugiran seluruh Singapura.

Dia muncul sebagai johan selama tiga tahun berturut-turut. Turut bertanding ketika itu A Ramlie yang mendapat nombor dua manakala Allahyarham M Osman pula di tempat ketiga.

Selepas itu, boleh dikatakan setiap minggu Jefrydin menyanyi di majlis perkahwinan bersama kumpulannya, Rhythm Boys.


Suatu hari ketika menyanyi di majlis orang kahwin di Singapura, seorang pengurus syarikat rakaman keturunan Cina-Indonesia, Mr Lee, terpandang persembahannya. Selepas mendengar Jeffrydin menyanyi, Mr Lee terus membuat janji temu dengannya di pejabat lalu minta dia menyampaikan lagu Seruling Bambu dan Fatwa Pujangga.

Dari situ, Jefrydin disuruh menyanyikan beberapa lagu Melayu dan Inggeris bagi dimuatkan di dalam album. Jelas rezeki yang datang tidak ditolak.

Jefrydin berjaya menandatangani kontrak, tetapi Mr Lee mencadangkan beliau menyanyi pula dengan kumpulan Siglap Five.

MENDAPAT Pingat AMP dari
Raja Muda Perak,
Raja Nazrin Shah,
pada 2002.


Jefrydin pernah bercerita, kenangan yang tidak dapat dilupakannya ialah apabila The Rhythm Boys (sebelum A Ramlie menyertainya) muncul sebagai Juara Kugiran anjuran Persatuan Pemuda Pemudi Bandaraya Singapura pada 1966. Mereka mengalahkan M Osman bersama The Clans manakala A Ramlie ketika itu bersama The Ramlie's.

Ironinya biarpun Jeffrydin, M Osman dan A Ramlie saling berentap, hubungan mereka tetap akrab bagaikan saudara kerana masing-masing bersikap profesional.

Hingga kini, Jefrydin yang pernah menghasilkan 30 album. Dia bertemu jodoh dengan gadis Pulau Pinang, Rashidah Abdullah, 49, yang juga pengurusnya dan dikurniakan tiga cahaya mata, Raden Arjuna Mirko, 26, Raden Wira Sukma, 20, serta Raden Ratna Sari Dewi, 15.


Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman
  • Nama Komersial: Jefrydin
  • Usia: 63 tahun
  • Tempat Lahir: Sophia Road, Singapura
  • Keluarga: Sulung daripada dua beradik
  • Kejayaan Awal: Juara Kugiran (ketika bersama Ryhthm Boys) anjuran Persatuan Pemuda Pemudi Bandaraya Singapura dan Separuh Akhir Bintang Radio 1964.
  • Anugerah: Pingat AMP dari Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 2002
  • Album: Antaranya, Seruling Anak Gembala, Kenanganku, Seruling Bambu, Sendiri, Jessi 10 Pujaanku (1979), Mas Mona 1 (1993), Pertemuan (1994), Tiada Bayangan Cinta (1997), Nostalgia Hari Raya Bersama Artis Lagenda (1999) dan Mas Mona II (1999)
  • Filem: Aksi Kucing (1966), Kisah Seorang Biduan (1980) dan Penagih Dadah (1980)
  • Isteri: Rashidah Abdullah, 49
  • Anak: Raden Arjuna, 26, Raden Wira Sukma, 20, dan Raden Ratna Sari Dewi, 15.
  • No comments: